Laman Web Unit Bimbingan Dan Kaunseling
SMK Timbua Ranau
Peti Surat 145 89308 Ranau Sabah

"One Family, One Vision, One Goal"

LENCANA SEKOLAH

 
LENCANA SMK TIMBUA RANAU
1. BENTUK

Lencana SEMETRA berbentuk ‘kolid’ yakni perisai pahlawan Kadazandusun pada zaman dahulu. 
Bentuk ini mewakili semangat juang dalam bidang akademik sesuai dengan tuntutan zaman mutakhir. 
Ini juga bermakna, ilmu yang dituntut, dan bakti yang dicurah 
adalah satu perisai kepada kehormatan diri, agama dan bangsa negara. 

2. WARNA

a.   Warna Merah:   Semangat waja menghadapi sebarang cabaran dalam usaha mencapai kecemerlangan.
b. Warna Biru: Keberanian untuk bersaing secara sihat dan bertatasusila untuk mencapai kecemerlangan.
c. Warna Kuning: Pertimbangan bijaksana dan jitu terhadap kehormatan dan kemuliaan diri dalam segala tindakan
d. Warna Hijau: Islam sebagai agama rasmi negara
e. Warna Putih: Keikhlasan dan keluhuran hati warga pendidik dalam mencurahkan ilmu kepada putera-puteri SEMETRA

3. LAMBANG

a. Gunung Kinabalu: Kegagahan bumi Kinabalu yang diduduki SEMETRA yang akan diwarnai cita-cita rasional, luhur dan bakti warga SEMETRA
b. Obor:  Tekad untuk berbakti di mana juga berada dan mengharumkan nama SEMETRA
c. Alat geometri: Keutamaan terhadap Sains dan Matematik atau dalam usaha mengakrabkan pelajar dengan teknologi terkini termasuk dalam bidang komputer
d. Buku:  Kerajinan membaca bagi mendapatkan maklumat
e. Padi: Refleksi diri agar sentiasa menyedari asal-usul, tidak mengabaikan bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung selamanya.

4. COGAN KATA SEKOLAH- ‘BERILMU & BERBAKTI

Semua pelajar di sekolah ini memiliki potensi untuk menjadi insan yang berketrampilan  ilmu dan keperibadiannya. Ilmu yang dipelajari perlu digunakan berbakti kepada persekitaran tempat pelajar atau bekas pelajar SEMETRA itu berada. Ketrampilan ilmu dan keperibadian adalah kecemerlangan sejati yang menjadi aspirasi segenap warga SEMETRA.

 

 

SEJARAH SMK TIMBUA RANAU

Sekolah Menengah Kebangsaan Timbua, Ranau atau SEMETRA diwujudkan untuk menampung peningkatan jumlah pelajar yang semakin meningkat di daerah Ranau. Sekolah ini terletak kira-kira 40 kilometer atau kira-kira 90 minit perjalanan dengan kenderaan dari Pekan Ranau.

Sekolah ini telah dibuka pada awal tahun 1985 dan telah dirasmikan pada 5 November 1988 (26 Rabiul Awal, 1409 H) oleh YB Dato' Kasitah Gadam (kini Tan Sri) yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.  Penubuhan SMK Timbua adalah hasil usaha daripada beberapa orang pemimpin kampung dengan sokongan padu oleh Allahyarham Tuan Haji Affandi Angkangon (Ketua Pengarah Pendidikan Bahagian Sekolah-sekolah) ketika itu.

Nama sekolah ini telah diambil berdasarkan nama Kampung Timbua. Menurut cerita lisan, asal usul nama Kampung Timbua bersempena batu besar di Sungai Sugut yang dipanggil sebagai 'Batu Timbua'. Batu Timbua ini dipercayai keramat oleh masyarakat dahulu, dan dikatakan jika ada yang mendengar bunyi suara menangis dari arah batu itu, pasti akan berlaku kematian di Kampung Timbua.

Pada awal 1985, sekolah ini cuma mempunyai sebuah bangunan iaitu bangunan yang kini dijadikan sebagai Asrama Puteri pada masa kini.  Kelas cuma dibuka untuk pelajar Tingkatan Satu dan masih menumpang di SK. Timbua, yang terletak kira-kira 300 meter dari tapak SMK. Timbua sekarang.  Hanya terdapat lima orang kakitangan mengajar termasuk Pengetua (Encik Suhaibul Suriman) dan belum mempunyai kakitangan bukan mengajar.  Jumlah pelajar pada peringkat awal penubuhan sekolah ini hanya 35 orang.

Pada tahun 1986, 3 orang guru mula bertugas sekaligus menambah tenaga pendidik.  Bilangan pelajar telah bertambah kepada 97 orang.  Kelas mula dibuka untuk pelajar Tingkatan 1 dan 2.  Dua buah bangunan kelas telah dibina iaitu Bangunan Merbuk dan Tekukur.  Tahun tersebut merupakan tahun pertama bagi SMK. Timbua mempunyai bangunannya sendiri. Sekolah juga telah melantik 2 orang kakitangan bukan mengajar manakala 85 peratus pelajarnya tinggal di asrama.

Pada tahun 1987, kelas Tingkatan 3 dimulakan. Sebanyak 3 buah kelas telah dibina. Pada keputusan Sijil Rendah Pelajaran Malaysia yang telah diduduki pelajar SMK Timbua bagi kali pertama, 79 peratus daripada pelajarnya telah lulus. Hasil kegigihan dan dedikasi paduan tenaga pendidik SMK Timbua, pada 1988, prestasi pencapaian pelajar dalam SRP meningkat kepada 89.1%.  Pada 1989, SMK. Timbua mencatat sejarah paling manis dengan mencapai kelulusan 100% dalam SRP.

Hingga kini sudah 17 tahun SMK Timbua berdiri gagah berjuang mendidik anak-anak bangsa dengan tenaga pendidik yang semakin bertambah dan pengetua sekolah yang silih berganti.  Antara pengetua / pemangku yang pernah bertugas di sekolah ini sejak penubuhannya ialah En. Suhaibul Suriman, Pengetua (1985-1986), En. Jamal Segenggot, Pemangku (1986-1988), En. Mohd. Yunus Dolah (1988-1992), En. Jaimie Ginsos, Pemangku (1992-1993), En. Saridih Ahmad, Pengetua (1994-1996), dan En. Suhilin Hadi, Pengetua (1996-sekarang).

Dari masa ke semasa, banyak pembangunan dan kemudahan yang telah disediakan.  Antaranya Bilik Guru, Bilik Gerakan, Makmal Sains, Surau, Bilik Kemahiran Hidup, Perpustakaan, Pejabat Pentadbiran, Kantin Sekolah, Rumah Guru dan sebagainya.  Pencapaian akademik para pelajar terutamanya dalam PMR di tahap yang baik. Pada tahun 1995, sekali lagi SMK Timbua meraih kecemerlangan dengan mencapai kelulusan 100% dalam PMR.

Pada masa kini, SMK Timbua dilihat oleh banyak pihak sebagai sebuah sekolah luar bandar yang proaktif, dan sentiasa dihormati kerana dalam kesederhanaan prasarana yang menghubungkan Timbua-Ranau, SEMETRA sentiasa menunjukkan peningkatan positif dalam kurikulum dan kokurikulum.

 

LAGU SEKOLAH

SMK Timbua Ranau
Tempatmu di desa permai
di kaki Gunung Kinabalu
megah berdiri nilai jaya

Putera-puteri tercinta
putera-puteri SMK Timbua
bersatu berpadulah semua
bersama mencapai kejayaan

    Bangunlah, majulah
    berilmu dan berbakti
    maralah ke hadapan

Teguhkanlah semangatmu
abadikanlah cita-citamu
berbakti pada nusa bangsa
jadi pemimpin di hari muka

Lagu: Cikgu Leoh Apin
Lirik: Encik Lasius Maci